Nabi Muhammad SAW ketika hayat Baginda kaya dengan senyuman. Bahkan Rasulullah turut bersabda senyum itu adalah sedekah. Senyuman adalah kebajikan dan kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan. Ia menggambarkan kebersihan dan keperibadian insan yang memberi senyuman. Ikuti penerangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai 'kuasa' senyuman.
Michael Hart dalam bukunya bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History menempatkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh paling berpengaruh sepanjang sejarah kerana menurutnya, Baginda satu-satunya manusia berjaya meraih kejayaan luar biasa baik yang dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf oleh penulis buku bukan Islam itu adalah seorang insan yang dalam hidupnya amat kaya dengan senyuman.
Sahabat bernama Jabir berkata: "Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa melihat senyuman pada bibirnya."
Begitulah sosok seorang insan yang paling berpengaruh sepanjang sejarah, selain keistimewaan luar biasa yang Allah SWT kurniakan, Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang tidak lokek dengan senyuman.
Berbicara mengenai kuasa senyuman, pakar psikologi mendedahkan bahawa untuk senyum seseorang perlukan sebanyak 17 gerakan otot wajah, manakala muka masam memerlukan 43 gerakan otot wajah. Ini bererti senyum lebih mudah berbanding memasamkan muka. Namun, ada yang lebih sukar untuk senyum.
Rasulullah SAW bersabda, senyum itu adalah satu sedekah. Selalunya, sedekah dikaitkan dengan material, tetapi sebenarnya boleh sahaja digantikan oleh gerakan jiwa murni datang daripada sekeping hati yang tulus.
SEBARKAN SENYUMAN DAN SALAM.
No comments:
Post a Comment